? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Friday, April 9, 2010

PESAKA sambut Jubli Emas penubuhannya


PAMERAN daripada Jabatan Biro Kawalan Narkotik
di Majlis Pelancaran Jubli Emas PESAKA
DI ANTARA ahli persatuan dan pengunjung sedang menjalani
pemeriksaan kesihatan.



Koleksi dari Pelita Brunei Keluaran 3 April 2010


TUTONG, Jumaat, 2 April. -
Persatuan Melayu Keriam, Tutong (PESAKA) mempunyai sejarah yang membanggakan setelah mampu bertahan sehingga 50 tahun berserta kejayaannya mengadakan rancangan-rancangan dan projek-projek bagi merealisasikan misi, matlamat serta tujuan penubuhan persatuan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Dewa Pahlawan Dato Paduka Haji Awang Dani bin Haji Ibrahim berpendapat PESAKA sesuai dijadikan sebagai 'role model' dan inspirasi kepada persatuan-persatuan belia terutama kepada persatuan yang baru kerana menurutnya kebanyakan persatuan belia yang ditubuhkan di negara ini tidak dapat bertahan dan ada di antaranya dalam keadaan 'hidup segan, mati tak mahu'.

Berucap selaku tetamu kehormat di Majlis Pelancaran Jubli Emas PESAKA yang berlangsung di Dewan Wawasan PESAKA di sini, Yang Dimuliakan percaya PESAKA ditubuhkan oleh anggota-anggota masyarakat kampung yang mempunyai sikap yang dinamik iaitu bersemangat, bersefahaman dan suka berbakti untuk memajukan masyarakat kampungnya melalui pelbagai aktiviti yang mengandungi kerohanian, mental dan jasmani.

"Sesebuah persatuan mempunyai ciri-ciri yang baik yang merupakan nilai-nilai murni seperti perpaduan, kerjasama, semangat sukarela, persefahaman, pemedulian/prihatin, mempunyai semangat kerja berpasukan, patriotik dan rela berkorban masa dan tenaga serta material demi kesejahteraan, kebajikan serta kemajuan bersama," jelas Yang Dimuliakan dengan penuh kepercayaan.

Terdahulu dari itu, Yang Dimuliakan juga turut menggariskan makna persatuan yang menurutnya adalah pertubuhan yang merupakan suatu ikatan yang menggabungkan serta menyatukan individu-individu dalam masyarakat yang mempunyai semangat dan persefahaman, iaitu untuk berbakti membangun dan memajukan masyarakat secara sukarela dengan mewujudkan matlamat serta objektif yang disepakati bersama.

Yang Dipertua PESAKA, Awang Ahanapi pula dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan sedikit latar belakang persatuan PESAKA yang pada awal penubuhanya dinamakan PMKT dan telah ditubuhan oleh seramai 24 orang pengasas terdiri dari anak-anak Kampung Keriam pada 1 April 1960. PESAKA katanya telah dapat mengharumkan nama Kampung Keriam dan telah dapat menggarap ke arah penyatuan masyarakat sekeliling seperti mana moto persatuan iaitu 'Bersatu Untuk Perpaduan'.

Di majlis itu tetamu kehormat juga telah berkesudian menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Jubli Emas PESAKA, di samping sijil penghargaan dan seterusnya merasmikan Tugu Jubli Emas PESAKA, menanam pokok longan sebagai pokok kenangan Jubli Emas.

Selain beberapa pameran yang telah diatur oleh PESAKA, pameran dari beberapa agensi kerajaan dan swasta yang lain turut memeriahkan lagi acara termasuk dari Jabatan Biro Kawalan Narkotik, Bahagian Pesakit Luar, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Cawangan Tutong (pemeriksaan kesihatan) dan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong.

Sambutan Jubli Emas PESAKA telah diadakan selama empat hari bermula dengan Majlis Khatam Al-Qur'an yang telah diadakan semalam, sementara di sebelah pagi tadi diadakan Pesta Mini Karnival iaitu pameran oleh agensi kerajaan, peraduan dan pameran urusan rumah tangga.

Di antara yang hadir sama di majlis itu Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Awang Haji Mohammad Taha bin Abd. Rauf dan Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Awang Haji Othman bin Uking, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Awang Haji Mawardi bin Haji Abdullah dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu.

(Berita dan Foto : Shari Haji Garib)