Dipetik dari Media Permata : Sabtu/Ahad, 11/12 Julai 2009
Oleh Kasha.
LEMBAGA Kebudayaan Sabah telah menganjurkan Festival Tarian Rakyat Antarabangsa Sabah buat kali ke-4 (4th Sabah International Folklore Festival) yang berlangsung 2 - 7 Julai lalu. Sebanyak 10 nagara telah mengambil bahagian iaitu Indonesia, Singapura, India, Kazakhstan, Cina, Brunei Darussalam, Filipina, Kemboja, Arab Saudi dan tuan rumah, Malaysia.
Pembukaan rasminya disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Haji Ahmadshah Abdullah yang berlangsung di Grand Ballroom 1Borneo pada 5hb. Julai. Pertandingan bertempat di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang.
Negara kita diwakili oleh Persatuan Melayu Keriam (PESAKA) yang memperlihatkan persembahan menarik dan menghiburkan dengan pakaian beraneka warna serta mendapat tepukan gemuruh dari penuoton, dijangka dapat memberikan saingan kepada pasukan lain.
Pasukan Filipina, yang diwakili Tacloban Performing Arts Group hampir-hampir menyapu kesemua hadiah yang dipertandingkan dengan memenangi koreografi terbaik, muzik terbaik, penari lelaki terbaik melalui peserta Mark Ryan Torente serta pasukan ini dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan.
Indonesia yang diwakili Kumpulan Daya Presta ditempatkan sebagai naib johan sementara pesertanya, Ari Tri Marnila terpilih sebagai penari perempuan terbaik dan Kazakhstan yang diwakili On Alty Kyz (bermaksud 16 orang gadis) ditempat ketiga serta dianugerahkan kostum terbaik
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun kemudian menyampaikan anugerah kepada pemenang-pemenang.







